Rabu, 3 September 2014

hikayat seri kelantan #form3

Prosa Tradisional
(Hikayat Seri Kelantan)

Sinopsis

            Ceritan ini mengisahkan negeri Kelantan Purba yang juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung di bawah pemerintahan seorang raja perempuan bernama Encik Siti Wan Kembang. Encik Siti tidak bersuami dan tidak mempunyai anak. Apabila mengetahui bahawa anak raja Jembal mempunyai anak perempuan yang terlalu cantik bernama Tuan Puteri Sa’dung, Encik Siti telah menjadikan Tuan Puteri Sa’dung sebagai anak angkat. Semakin lama dipelihara, semakin cantik rupa Tuan Puteri Sa’dung sehingga banyak orang yang tergila-gila akannya. Apabila Tuan Puteri Sa’dung dewasa, Encik Siti ingin mengahwinkan anak angkatnya itu kerana mahu mencari pewaris takhta. Encik Siti telah  mengahwinkan Tuan Puteri Sa’dung dengan anak raja Jembal bernama Raja Abdullah. Setelah berkahwin, Raja Abdullah bergelar Sultan Abdullah dan memerintah negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Seterusnya, Encik Siti menitahkan Sultan Abdullah mendirikan sebuah kota yang diberi nama Kota Jelasin. Sultan Abdullah seterusnya memerintah di Kota Jelasin manakala Encik Siti berpindah ke Gunung Ayam dan menjadi raja di situ.
Raja Siam telah mendengar  berita Tuan Puteri Sa’dung telah berkahwin dengan Sultan Abdullah, Raja Siam memerintahkan segala raja dan menteri hulubalang di bawah takluk baginda supaya menyerang negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kerana baginda terlalu ingin memiliki Tuan Puteri Sa’dung. Raja Siam juga menitahkan Tuk Ca untuk turut belayar ke negeri tersebut kerana beliau ialah seorang ahli nujum. Apabila tiba di negeri tersebut, utusan raja Siam telah menghadap Sultan Abdullah  lalu menyampaikan hasrat Raja Siam untuk memiliki Tuan Puteri Sa’dung. Apabila didengar oleh Sultan Abdullah, baginda terus marah lalu menghalau keluar utusan Raja Siam sehingga  mereka terpaksa berundur. Kemudian, pasukan tentera Siam bermuafakat untuk menyerang Kota Jelasin. Setelah beberapa lama berperang, tentera Siam telah tewas kerana Tuan Puteri Sa’dung memiliki kesaktian.
Negeri Serendah Kebun Bunga ditimpa bala kebuluran. Akibatnya, Kota Jelasin telah dikepung oleh tentera Siam kerana rakyatnya melarikan diri. Pada ketika itu, Tuan Puteri Sa’dung berseru sekiranya dia berasal daripada keturunan orang tuha-tuha yang berdarah putih dan bertulang tunggal, akan terangkatlah kota dan istana mahligainya sehingga jatuh di dalam hutan. Setelah itu, seluruh kota dan istana ghaib lalu jatuh ke dalam Cerang Bahana. Kemudian, Tuan Puteri Sa’dung dan rakyatnya membuat negeri di dalam hutan itu yang diberi nama Mahligai. Apabila Kota Jelasin ghaib, raja dan pegawai Siam menaiki perahu untuk berjumpa dengan Tuk Ca kerana dia tahu tentang ilmu nujum. Tuk Ca meminta mereka bertenang kerana berdasarkan ilmu nujumnya, dia dapat mengesan pergerakan Tuan Puteri Sa’dung dan dia dapat melihat mahligai, Tuan Puteri Sa’dung dan Sultan Abdullah berada di dalam cerang. Kemudian, Tuk Ca memerintahkan mereka terus mengikuti Tuan Puteri Sa’dung menuju ke arah selatan.
Mereka tiba di cerang besar lalu berjumpa dengan mahligai Tuan Puteri Sa’dung lalu mengepung mahligai tersebut. Oleh sebab tidak dapat melepaskan diri dan semua rakyat telah berpecah-belah, Tuan Puteri Sa’dung mencadangkan Sultan Abdullah supaya bertanya kepada Tuk Ca hajat sebenar raja Siam menyerang Kota Jelasin. Setelah berjumpa dengan Tuk Ca, Sultan Abdullah diberitahu bahawa Raja Siam sebenarnya tidak berniat untuk menakluk negeri baginda tetapi mahu memiliki Tuan Puteri Sa’dung. Sultan Abdullah kemudiannya pulang lalu memberitahu segala kata Tuk Ca kepada Tuan Puteri Sa’dung. Sultan Abdullah seterusnya menitahkan isteri kesayangan baginda supaya menurut kehendak Raja Siam kerana mereka tidak mampu menentang Raja Siam dan bimbang negeri mereka akan musnah. Tuan Puteri Sa’dung yang berasa serba salah kerana ingin menjaga maruahnya serta takut dimurkai Sultan Abdullah akhirnya bersetuju dengan kehendak suaminya lalu mengikut Tuk Ca dan duduk di dalam jong. Sultan Abdullah akhirnya kembali ke mahligai baginda manakala Tuk Ca mengarahkan segala raja, menteri, hulubalang dan rakyat Siam kembali ke bahtera untuk belayar pulang ke benua Siam.

Tema  

Tema prosa tradisional ini ialah seorang puteri yang cantik dan mempunyai keisimewaan  luar biasa

Persoalan
1.    Keinginan merampas hak orang.
2.    Kasih sayang antara suami dengan isteri.
3.    Perpaduan dalam mempertahankan negara.
4.    Semangat bermuafakat dalam melaksanakan pekerjaan.
5.    Ketaatan kepada raja.
6.    Berdiplomasi dalam menyelesaikan persengketaan.

Watak dan Perwatakan

Watak Utama

1.   Tuan Puteri Sa’dung

  • Anak perempuan raja Jembal.
  • Anak angkat kepada Encik Siti Wan Kembang.
  • Dikatakan berasal daripada keturunan orang tuha-tuha yang berdarah putih dan bertulang tunggal.
  • Rupa paras yang sangat cantik. Kecantikannya banyak menyebabkan  orang tergila-gilakannya sehingga Raja Siam terlalu ingin memilikinya.
  • Memiliki kesaktian yang luar biasa. Dapat menjadikan seluruh Kota Jelasin dan mahligainya ghaib lalu jatuh ke dalam hutan ketika hendak menyelamatkan diri daripada pasukan tentera Siam.
  • Sangat sayang akan suaminya. Tuan puteri berasa sangat sedih serta serba salah ketika hendak berpisah dengan Sultan Abdullah.
  • Sanggup berkorban. Tuan puteri sanggup mengikut Tuk Ca dan menjadi milik Raja Siam demi menyelamatkan negerinya daripada musnah.
  • Taat setia akan suaminya. Tuan puteri tidak membantah cadangan Sultan Abdullah untuk menjadi milik Raja Siam kerana takut dimurkai Sultan Abdullah.
  • Bijaksana. Tuan puteri mencadangkan Sultan Abdullah supaya berjumpa dengan Tuk Ca untuk bertanya tentang hajat sebenar raja Siam menyerang Kota Jelasin.
  • Memelihara kehormatan diri. Tuan puteri tidak sanggup menjadi milik Raja Siam kerana mahu menjaga maruah dan kehormatannya sebagai seorang isteri.
  • Akhirnya menjadi milik Raja Siam. Tuan puteri mengikut Tuk Ca belayar ke benua Siam.


Watak Sampingan

  1. . Sultan Abdullah
  • Anak raja Jembal.
  • Nama asal Raja Abdullah.
  • Berkahwin dengan Tuan Puteri Sa’dung.
  • Menjadi pemerintah negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.
  • Membina Kota Jelasin atas arahan ibu mentuanya, Encik Siti Wan Kembang.
  • Berpendirian tegas. Sultan Abdullah berasa marah apabila mengetahui Raja Siam ingin memiliki isterinya lalu terus menghalau keluar utusan Siam.
  • Sangat sayang akan isterinya. Sultan Abdullah berasa sangat sedih apabila terpaksa berpisah dengan isterinya.
  • Berani. Sultan Abdullah sanggup berhadapan dengan tentera Siam yang menyerang Kota Jelasin.
  • Sanggup berkorban. Sultan Abdullah sanggup menyerahkan isterinya untuk menjadi milik Raja Siam demi menyelamatkan negerinya.
  • Bijak dalam mengambil tindakan. Sultan Abdullah sanggup berunding dengan Tuk Ca setelah mahligainya dikepung oleh tentera Siam untuk mengelakkan negerinya musnah.
  • Akhirnya terpaksa berpisah dan menyerahkan isteri kesayangannya, Tuan Puteri Sa’dung kepada Raja Siam.


  1. . Encik Siti Wan Kembang
  • Raja Perempuan.
  • Memerintah kerajaan Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.
  • Belum berkahwin dan mempunyai anak.
  • Mengambil Tuan Puteri Sa’dung sebagai anak angkat.
  • Sangat sayang akan anak angkatnya. Banyak orang tergila-gila akan tuan puteri tetapi tidak berani mendekatinya kerana Encik Siti terlalu mengasihinya.
  • Mengahwinkan Tuan Puteri Sa’dung dengan Raja Abdullah, anak raja Jembal. Encik Siti mengahwinkan Tuan Puteri Sa’dung kerana ingin mencari pewaris kepada kerajaannya.
  • Berpindah ke Gunung Ayam dan menjadi raja di situ setelah Tuan Puteri Sa’dung berkahwin.

  1. Tuk Ca
  • Ahli nujum kepada Raja Siam.
  • Taat kepada raja. Turut belayar bersama-sama dengan raja, menteri dan pegawai Siam setelah diperintahkan oleh Raja Siam.
  • Memiliki kesaktian. Tuk Ca dapat mengetahui tempat persembunyian Tuan Puteri Sa’dung dan Sultan Abdullah berdasarkan ilmu nujum yang dimilikinya.
  • Bijak dalam sebelum bertindak. Tuk Ca mencadangkan pasukan Siam bersiap sedia menuju ke arah selatan agar Tuan Puteri Sa’dung dapat ditangkap.
  • Tidak mudah gelabah. Tuk Ca meminta raja-raja, pegawai dan hulubalang Siam bertenang setelah Tuan Puteri Sa’dung, Sultan Abdullah, dan mahligai ghaib.
  • Bertolak ansur. Tuk Ca berunding secara damai dengan Sultan Abdullah untuk mendapatkan Tuan Puteri Sa’dung yang ingin dimiliki oleh Raja Siam.
  • Berjaya memperoleh Tuan Puteri Sa’dung dengan mudah dan membawanya pulang ke benua Siam.


Latar
Latar Masa
  1. Zaman pemerintahan kerajaan Kelantan Purba.
  2. 40 hari 40 malam. Persediaan untuk majlis perkahwinan Tuan Puteri Sa’dung dengan Sultan Abdullah.
  3. Waktu malam. Ketika utusan Siam berjumpa dengan Sultan Abdullah untuk menyampaikan hasrat Raja Siam yang ingin memiliki Tuan Puteri Sa’dung.
  4. Waktu siang. Raja dan pegawai sebelah Raja Siam menyedari bahawa Kota Jelasin telah ghaib.

Latar Tempat
  1. Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.
  2. Kota Jelasin..

  1. Cerang Bahana.
  2. Gunung Ayam.
  3. Istana/mahligai.
  4. Perahu jong.

Latar Masyarakat
  1. Masyarakat zaman sistem beraja / Masyarakat feudal .

  1. Masyarakat yang taat setia kepada pemerintah.
  2. Masyarakat yang sanggup berkorban untuk mempertahankan negara.

  1. Masyarakat yang memiliki kesaktian yang luar biasa.
  2. Masyarakat yang bersabar.
  3. Masyarakat yang tidak bersatu padu.

Gaya Bahasa

  1. Bahasa Istana
    Contoh:   sultan, baginda, titah, murka, ayahanda, bonda
  1.  Bahasa Melayu Klasik
    Contoh:   jemelah, suak, cerang, cetera, tuha-tuha, al-kisah,
  1.  Bahasa Arab
    Contoh:   mustaib, Allah subhanahu wa taala
  1. Dialek Kelantan
    Contoh:   beroyat
  1. Pribahasa
Contoh : anak angkat


Nilai
  1.  Kasih sayang
  2. Taat setia 
  3. Berkorban
  4.  Nilai bertolak ansur
  5. Berani
  6. Cinta akan negara
  7. Bermuafakat

Pengajaran

  1. Kita hendaklah saling menyayangi suami isteri.
  2. Kita hendaklah taat setia kepada raja.
  3. Kita hendaklah sanggup berkorban demi mempertahankan negara.
  4.  Kita hendaklah bijak bertindak dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
  5. Kita hendaklah bersatu padu untuk menjaga kedaulatan negara.
  6. Janganlah kita merampas hak orang lain.
  7. Kita hendaklah berunding secara damai untuk menyelesaikan sebarang
    persengketaan.

1 ulasan: