Rabu, 3 September 2014

hikayat inderaputera #form3

Prosa Tradisional
(Hikayat Inderaputera)

Cerita ini mengisahkan seorang putera raja yang bernama Inderaputera yang ingin mengembara. Setelah mendapat keizinan daripada bondanya, Tuan Puteri Seganda Cahaya Iram, Inderaputera terus mengembara sehingga sampai di sebuah gua, iaitu perbendaharaan Raja Baharum Tabiq yang terbina daripada batu berwarna hijau dan pintunya dibuat daripada tembaga suasa. Di pintu gua itu, terdapat seekor ular yang terlalu panjang dan besar. Kehadiran Inderaputera menyebabkab ular itu cuba menyerangnya untuk mengusir Inderaputera dari situ. Walau bagaimanapun, Inderaputera berjaya memarang kepala ular itu hingga mati.
Inderaputera masuk ke gua tersebut dan didapati ruang gua itu terlalu luas dan banyak terdapat bilik yang penuh dengan barangan berharga seperti emas, perak, pakaian yang indah-indah, alatan peperangan, kelengkapan kain kapan serta pakaian raja-raja dahulu kala. Namun begitu, tidak satu pun barang tersebut yang diambilnya. Apabila Inderaputera keluar dari bilik itu, seekor kuda hijau datang menuju ke arahya dengan sangat pantas dan berdengus kuat serta cuba menyerangnya. Namun, kuda itu dapat dijinakkan oleh Inderaputera dengan menggunakan bahasa jin sehingga akhirnya mereka menjadi sahabat. Lantas dicarinya pelana yang sesuai sehinggalah ditemukan suatu pelana yang bertatahkan ratna mutu manikam yang tertulis “Janggi Gerdana” lalu diletakkan di atas kuda itu. Maka, kuda itu diberi nama “Janggi Gerdana”. Janggi Gerdana memberitahu bahawa terdapat suatu cembul kaca putih di kepala ular Mamdud dan di dalamnya terdapat suatu “Bedi Zahar” yang mempunyai hikmat iaitu dapat menghidupkan orang yang telah mati. Malah dapat juga menghidupkan orang atau binatang yang tanggal tulangnya. Inderaputera sangat gembira dan terus mendapatkan “Bedi Zahar” tersebut. Lalu duduklah ia dengan Janggi Gerdana di dalam gua itu.
Manakala di sebuah negeri pula yang diberi nama Zainun, pemerintahnya adalah Raja Puspa Pandai berketurunan jin Islam manakala isteri baginda yang bernama Tuan Puteri Puspa Seri Gading berketurunan manusia. Baginda mempunyai dua orang anak. Puteranya bernama Dinar Puspa manakala puterinya bernama Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela. Rakyatnya pula berupa pelbagai jenis beruk pada siang hari dan bertukar menjadi manusia pada waktu malam. Untuk mengelak sebarang bencana dan fitnah terhadap puterinya, maka disuruh rakyat jelatanya membina sebuah mahligai yang serba indah di Padang Anta Berahi dilengakapi dengan pelbagai ciri keselamatan dengan harapan puterinya terhindar daripada segala bencana. Setelah itu, seekor tiung dan bayan disuruh supaya menjaga dan menghiburkan puterinya setipa hari sehinggalah pada suatu hari bayan keluar mencari calon suami untuk tuan puteri kerana tuan puteri semakin dewasa. Malangnya putera raja yang dicari itu gagal mendekati tuan puteri kerana tergelincir di pertengahan tangga mahligai yang tinggi itu lalu jatuh mati. Begitulah keadaan yang terus terjadi terhadap berpuluh-puluh anak raja yang cuba mendapatkan Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela.
 Kuda yang bernama Janggi Gerdana telah membawa Inderaputera terbang sehingga sampai di mahligai Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela. Setelah disoal oleh bayan, Inderaputera telah memperkenalkan diri dan asal usulnya. Mendengar penjelasan itu, Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela terus keluar dan menceritakan asal-usulnya juga malah segala peristiwa yang melibatkan anak-anak raja di situ turut diceritakan kepada Inderaputera. Ekoran daripada itu, Inderaputera terus menggunakan Bedi Zahar untuk menghidupkan semua anak raja yang telah tergelincir mati. Dengan izin Tuhan, semua anak raja tersebut hidup kembali dan bersyukur kepada Tuhan serta mendoakan kesejahteraan Inderaputera yang telah membantu menghidupkan mereka. Kesaktian yang ditunjukkan oleh Inderaputera telah menarik hati Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela. Lalu dibawanya bertemu dengan ayahandanya, Raja Puspa Pandai dan disuruh duduk di sebuah kerusi emas. Apabila malam tiba Inderaputera berasa sangat pelik melihat semua keluarga beruk menjadi manusia dan seterusnya Inderaputera dihidangkan dengan makanan dan hiburan yang menarik. Begitulah Inderaputera dilayan setiah hari sepanjang dirinya berada di sana.

Tema
Tema hikayat ini ialah keberanian dan kesaktian seorang anak raja.
Inderaputera meminta keizinan bondanya untuk keluar mengembara seorang diri dengan tujuan berdikari dan mengenali erti kehidupan yang sebenar dan disebabkan kesaktian yang terdapat pada dirinya jugalah Inderaputera berjaya bertemu Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela.
Persoalan
a.            Keberanian menentang musuh.
b.            Bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan dapat
           meringankan beban.
c.            Bertutur dengan sopan dapat melembutkan hati orang 
           sekeliling..
d.            Budi pekerti yang mulia
e.            Bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan Tuhan.


Watak utama
Inderaputera
·         Seorang putera raja kepada Bikrama Buspa.
·         Bondanya bernama Puteri Seganda Cahaya Iram.
·         Sangat kacak/tampan rupa parasnya.
·         Bersifat berani.
·         Mempunyai budi pekerti yang mulia.
·         Mempunyai hati yang bersih.
·         Menggunakan kelebihan diri untuk membantu orang lain.
·         Satu-satunya putera raja yang berjaya bertemu dengan Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela.
·         Mempunyai kelebihan menghidupkan orang yang telah mati dengan menggunakan Bedi Zahar.
Watak Sampingan
1.Puteri Seganda Cahaya Iram
·         Bonda kepada Inderaputera
·         Isteri/Permaisuri kepada Raja Bikrama Buspa.
·         Sangat bimbangkan akan keselamatan anaknya.
·         Buktinya sukar melepaskan anaknya pergi mengembara seorang diri.

2.Janggi Gerdana
·         Seekor kuda hijau yang terdapat di dalam gua Perbendaharaan Raja Baharum Tabiq
·         Seekor haiwan yang pandai berkata-kata menggunakan bahasa jin
·         Patuh dan akur kepada kelembutan dan pujian.
·         Buktinya apabila Inderaputera menggunakan bahasa jin dengan lemah lembut maka     
      kuda hijau yang pada asalnya berdengus kuat terus tunduk dan akur akan kehendak 
·         Inderaputera yang ingin menjadikannya sebagai sahabat.


3.Ular Mamdud
·         Seekor ular besar yang panjang dan mempunyai kesaktian.
      Buktinya, di kepalanya terdapat suatu cembul putih dan di dalamnya terdapat (Bedi Zahar) yang mampu menghidupkan orang mati. Malah manusia dan binatang yang telah tanggal tulangnya juga mampu dihidupkan semula dengan izin Tuhan.

4.Raja Puspa Pandai
      Seorang raja yang memerintah negeri Zainun.
      Bangsanya berasal daripada jin Islam
      Bangsa isterinya pula berasal daripada manusia
      Mempunyai dua orang anak
      Puteranya bernama Dinar Pandai
      Puterinya bernama Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela
      Isterinya/Permaisuri bernama Tuan Puteri Seri Gading
      Rakyatnya terdiri daripada rakyat kera pada waktu siang dan bertukar menjadi manusia pada waktu malam
      Seorang ayah yang bertanggungjawab.

5.Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela
·         Puteri kepada Puspa Pandai
·         Mempunyai rupa paras yang cantik menawan
·         Sudah dewasa dan patut mempunyai teman hidup
·         Tinggal di dalam mahligai indah yang telah dibina atas perintah ayahandanya, Puspa Pandai
·         Ditemani oleh seekor burung tiung dan bayan yang berkebolehan berkata-kata
·         Sukar untuk didekati dan dimiliki.
·         Berjaya bertemu dengan Inderaputera dan membawa pulang bertemu ayahandanya di negeri Zainun.

Latar Masa
I.Zaman feudal. Zaman pemerintahan diraja.
II.Waktu siang. Rakyat Raja Puspa Pandai menjadi kera, beruk, lotong karkah(cikah), kongkang dan siamang.
III.Waktu malam. Manakala pada waktu malam seluruh rakyat yang menjadi kera dan beruk bertukar menjadi manusia.

Latar Tempat
I.Gua yang dikenali sebagai Perbendaharaan Raja Baharum Tabiq.
II.Padang Anta Berahi.
III.Mahligai.
IV.Tangga emas.
V.Istana.
VI.    Negeri Zainun.

Latar Masyarakat
I.Masyarakat feudal.
II.Masyarakat manusia dan binatang yang mempunyai cirri-ciri kesaktian.
III.Masyarakat yang patuh kepada pemerintah.

Gaya Bahasa

  1. Bahasa istana.
Contoh : bonda, hamba
  1. Penggunaan pantun
Contoh :         Penjahat di atas pintu,
                  Dulang tiris mari dirapat;
                  Orang muda sahaja begitu,
                                    Orang yang arif maka mendapat
  1. Simile
Contoh: hidungnya itu laksana kuntum melur dan telinganya seperti telepok.
  1. Metafora
Contoh: maka anak raja itu pun seperti lenyaplah rasa ia dalam laut berahi itu.


Nilai
I. Keberanian.
II.Bertanggungjawab
III.Bekerjasama.
IV.Kesyukuran.
V.Menghargai jasa
VI.Kasih sayang.


Pengajaran.

I Kita haruslah mempunyai semangat yang cekal dan berani untuk menghadapi sebarang halangan.
II. Kita haruslah bertanggungjawab kepada anak.
III.Kita haruslah sentiasa bekerjasama untuk meringankan beban.
IV.Kita hendaklah sentiasa merendahkan suara ketika bercakap.
V.Kita hendaklah bekerjasama dalah menjalankan tugas supaya meringan beban.
VI.Kita hendaklah mengagungkan kebesaran Tuhan.
VI.Kita hendaklah menghargai jasa orang yang telah menaburkan budi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan